Budaya Malaysia mengagumkan
"SAYA ingatkan Malaysia negara miskin. Sebelum menjejakkan kaki ke sini, saya membawa beberapa bekalan asas seperti bateri, lampu suluh dan beberapa pasang kasut.
"Saya takut susah hendak dapatkan semua barang-barang itu. Jadi, saya membelinya untuk stok setahun tinggal di sini."
Begitulah pandangan pertama pelajar yang mengikuti program AFS (American Field Service) Antarabudaya Malaysia, Jessica Jung, 16, mengenai Malaysia.
Merupakan antara 80 peserta luar negara yang dihantar ke Malaysia, remaja dari Dortmund, Jerman itu berminat untuk mengenali budaya penduduk negara Asia dengan lebih dekat menerusi program AFS.
Jessica memperoleh maklumat mengenai AFS setelah mengunjungi satu laman web berkaitan program pertukaran budaya. Selepas mendapatkan borang permohonan, dia mengisi butir-butir yang dikehendaki termasuk pemilihan negara.
Mengenai pemilihan Malaysia, dia menyifatkan keunikan negara ini membuatkan hatinya tertarik untuk mengenali budaya, bahasa dan cara hidup penduduknya.
Malah, kedatangan Jessica ke Malaysia turut mendapat sokongan daripada ahli keluarganya. Keistimewaan yang dimiliki Malaysia meyakinkan ibu bapanya untuk membenarkan anak mereka datang ke sini melalui program AFS.
Hakikatnya, hasrat gadis itu untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan merasai sendiri alam persekolahan di sini begitu membuak.
Sebelum ini, dia hanya mengenali Malaysia menerusi mercu tanda Menara Berkembar Petronas. Itupun setelah diberitahu oleh gurunya di sekolah Helene-Langymnasium, Dortmund, Jerman.
"Memang benar, Malaysia ada kelebihan tersendiri. Saya kagum melihat penduduk berbilang bangsa tinggal dalam satu negara. Rakyatnya hidup aman damai tanpa sebarang ancaman," ujar Jessica yang ingin dikenali sebagai Jinab kerana mahu melihat dirinya sebagai saudara Islam.
Berkaitan penerimaan keluarga angkat, jelasnya, dia tidak berhadapan masalah sewaktu pertama kali berjumpa. Ini kerana, sebelum datang ke Malaysia, mereka saling bertukar-tukar gambar dan berbual menerusi laman maya.
Cuma, dia terpaksa menggunakan bahasa tubuh apabila ingin menyatakan sesuatu perkara yang tidak jelas. Itulah perkara yang dianggap paling sukar baginya. Kesukaran memahami perbualan bermula dari hari pertama sehinggalah minggu ketiga tinggal di rumah keluarga angkatnya di Bangi Perdana, Bangi, Selangor.
Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, walaupun mereka mahir bertutur dalam bahasa Inggeris tetapi dia masih mengalami masalah untuk memahami apa yang dituturkan kerana perbezaan slanga.
Jinab yang merupakan anak kepada seorang jurugambar di salah sebuah syarikat produksi di Jerman itu berkata, berkomunikasi dan belajar bahasa Malaysia antara perkara pertama yang dia pelajari sebaik sahaja menjejak kaki ke bumi Malaysia.
Buktinya, penulis mendengar sendiri Jinab membaca akhbar Kosmo! dengan sebutan yang pekat dalam slanga orang Barat. Kini, hampir tiga bulan menetap di Malaysia, Jinab sudah boleh membaca akhbar bahasa Melayu.
Sepanjang setahun berada di Malaysia, Jinab ditempatkan dalam kelas tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan 3, Bangi Perdana. Dia mengakui pada awalnya, dia sukar memahami konsep pembelajaran yang diketengahkan di sekolah itu.
Selain itu, katanya, dia berasa agak gugup sewaktu hari pertama persekolahan. Wajahnya sering menjadi tumpuan ramai pelajar, membuatkan dia seperti seorang manusia yang baru datang dari sebuah planet asing.
"Semua mata memandang ke arah saya. Wajah-wajah seragam itu membuatkan saya tidak selesa. Adakah mereka tidak suka orang asing?"
"Lama saya berdiri di sebelah cikgu. Kemudian, barulah saya diperkenalkan kepada mereka. Mujur saya dan rakan-rakan kelas tahu berbahasa Inggeris. Jadi, tidaklah saya berasa kekok apabila hendak berkomunikasi dengan mereka," katanya gembira setelah diberi peluang mengenakan pakaian seragam sekolah.
Mengenai pemahamannya dalam mata pelajaran bahasa Malaysia, katanya, penggunaan tatabahasa dalam setiap perkataan begitu mengelirukan. Dia terpaksa mengambil masa yang lama untuk memahami satu perkataan walaupun maksudnya sama.
Berkongsi pengalaman sepanjang tinggal bersama keluarga angkat, dia menganggap dirinya seperti anak yang baru lahir. Jinab perlu belajar bagaimana menjalani kehidupan baru di bumi Malaysia. Lebih-lebih lagi, dia berada dalam sebuah keluarga Islam.
"Bagi saya, Islam adalah agama menakjubkan. Walaupun saya beragama Kristian, namun hati saya terdetik untuk mendalami agama Islam kerana ia mempunyai banyak kelebihan.
"Anda bayangkan, saya berjaya menjalani ibadah puasa selama sebulan. Biarpun hari pertama, saya mengalami kesukaran seperti berasa pening dan lapar, tetapi saya mampu bertahan sehingga waktu berbuka," katanya bangga kerana berjaya menyesuaikan diri bersama keluarga angkat dalam tempoh kurang tiga bulan.
Jinab mengakui menunaikan ibadah puasa antara perkara paling mencabar selama mengenali Islam dengan lebih mendalam.
Selain itu, dia turut mendalami banyak perkara lain seperti cara pemakanan serta adat dan budaya orang Melayu. Selama tinggal di sini, Jinab mengamalkan pemakanan sayur-sayuran sahaja. Pengalamannya melihat penyembelihan lembu di tempatnya membuatkan dia berasa 'kasihan' untuk makan daging.
Walaupun ibu angkatnya menyediakan hidangan seperti nasi dengan lauk daging atau ayam masak merah, dia hanya mengambil kuahnya sahaja dan tidak sesekali menolak apa jua hidangan yang disediakan.
Di Jerman, selain popular dengan masakan Barat, katanya, terdapat juga restoran yang mengetengahkan menu masakan Asia seperti Cina dan India. Oleh itu, tidak hairanlah jika di sini, Jinab boleh menikmati hidangan nasi goreng dan roti nan sebagai makanan kegemarannya.
"Saya suka budaya di sini. Mereka saling membantu antara satu sama lain. Misalnya pada Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali, masyarakat berbilang bangsa mengunjungi jiran dan sahabat handai.
"Paling seronok, saya berpeluang mempelajari cara menganyam ketupat, membuat manisan kuih India sehinggalah menggayakan sari dan baju kurung," katanya. Layanan baik keluarga angkat sekurang-kurangnya mengubat kerinduan terhadap keluarganya di Jerman.
Menghabiskan masa hujung minggu dengan bermain taekwondo, Jinab menyimpan hasrat untuk datang semula ke Malaysia. Apa yang pasti, dia ingin berkongsi pengalaman manisnya itu sebaik sahaja tiba di tanah airnya nanti.
Ibu angkatnya, Siti Badarny Hassan memberitahu, kehadiran Jinab dalam keluarganya memberi satu perubahan besar dalam kehidupan dia dan anak-anak.
Walaupun sudah tiga kali menerima anak angkat dari negara luar, tetapi kali ini, tempohnya lebih lama iaitu setahun, berbanding dua pelajar Jepun sebelumnya.
"Saya ambil Jinab pun sebab nak dedahkan anak-anak dengan budaya luar. Selain itu, pergaulan seharian dengan Jinab membantu menambah kemahiran dan mengikis rasa malu anak-anak untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan orang asing," jelasnya.
Menurutnya, ia satu situasi yang menguntungkan kedua-dua pihak. Maknanya, mereka bukan sahaja bertukar-tukar bahasa dan budaya tetapi berpeluang meningkatkan pengetahuan mengenai dunia luar.
Badarny menganggap Jinab seperti anaknya sendiri. Mereka tidak lepas pandang dalam mendidik anak gadis itu.
"Kami dekatkan diri Jinab dengan peraturan dan adab ketika berada di dalam dan luar rumah. Contohnya, Jinab perlu mengemas rumah dan berpakaian yang sesuai," ujarnya telus.
Mendengar itu, Jinab mencelah. Katanya, program tersebut memberi impak luar biasa dalam kehidupannya. Jika dahulu, dia seorang yang tidak peka tentang perkara yang melibatkan karakter peribadi seperti tingkah laku atau perangai.
"Bergaul dengan rakan-rakan berlainan bangsa sedikit sebanyak mengajar saya membezakan perkara baik dan buruk. Paling penting, saya bangga dapat mengenali diri sendiri," ujar Jinab sambil mempamerkan wajah gembira.
Macam best jer? bacala lagi....